NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyeru supaya usaha memulihkan penderitaan besar rakyat Gaza diberi keutamaan selepas pengumuman perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Guterres menegaskan perlunya peningkatan besar dalam penghantaran bantuan kemanusiaan bagi menyelamatkan rakyat Palestin yang terus menderita.
“Adalah penting supaya gencatan senjata ini menghapuskan segala halangan keselamatan dan politik bagi membolehkan bantuan dihantar ke seluruh Gaza. Situasi kemanusiaan kini berada pada tahap yang sangat kritikal,” katanya.
Perjanjian itu diumumkan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, selepas rundingan panjang selama beberapa minggu di Doha dan ia dijangka berkuat kuasa pada Ahad ini.
Perjanjian tersebut merangkumi pembebasan berperingkat tebusan yang ditahan oleh Hamas serta ratusan tahanan Palestin di Israel.
Selain itu, ia akan membolehkan ratusan ribu penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal kembali ke sisa rumah mereka.
Perjanjian tersebut turut membuka laluan kepada peningkatan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang telah musnah akibat konflik selama 15 bulan.
Guterres memuji perjanjian gencatan senjata itu sebagai ‘langkah penting pertama’ ke arah mencapai matlamat yang lebih besar, termasuk mengekalkan keutuhan wilayah Palestin yang diduduki.
“Penyatuan rakyat Palestin adalah kunci untuk mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan. Keutamaan harus diberikan kepada usaha memastikan tadbir urus Palestin yang bersatu,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk mengambil peluang ini bagi mewujudkan laluan politik yang kredibel demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat Palestin, Israel, dan rantau tersebut. -AGENSI