BEIJING : Gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter melanda Tibet pagi hari ini, sehingga meragut 32 nyawa dan menyebabkan kerosakan pada bangunan di sekitar Shigatse dan membuatkan orang ramai bertempiaran lari ke jalan di negara yang bersempadan dengan Nepal dan India.
Gegaran yang berlaku pada pukul 9:05 pagi waktu tempatan itu mempunyai kedalaman pusat gempa sebanyak 10 kilometer (km), menurut Pusat Rangkaian Gempa China.
Rakaman video menunjukkan deretan kedai mengalami kerosakan di jalan raya di bandar berhampiran, Lhatse.
Reuters mengesahkan lokasi kejadian berdasarkan bangunan, tingkap, susun atur jalan dan tanda-tanda yang sepadan dengan imej satelit dan pemandangan jalan.
Gegaran turut dirasakan di ibu negara Nepal, Kathmandu, yang terletak kira-kira 400 km dari pusat gempa, dengan penduduk berlari keluar dari rumah mereka.
Di negeri Bihar, India yang bersempadan dengan Nepal, gegaran turut dirasakan dan menyebabkan penduduk berlari keluar dari rumah dan apartmen menuju ke kawasan terbuka.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau kehilangan harta benda diterima dari pihak berkuasa India.
Wilayah barat daya China sering dilanda gempa bumi. Pada 2008, satu gempa besar di wilayah Sichuan mengorbankan hampir 70,000 nyawa.
Menurut CCTV, stesen penyiar negara China, terdapat 29 gempa bumi dengan kekuatan tiga atau lebih dalam lingkungan 200 km dari pusat gempa di Shigatse dalam tempoh lima tahun yang lalu, kesemuanya lebih kecil berbanding gempa yang berlaku hari ini.
Pada 2015, gempa bumi berkekuatan 7.8 skala Richter yang melanda berhampiran Kathmandu, Nepal, mengorbankan sekitar 9,000 orang dan menyebabkan beribu-ribu cedera dalam gempa bumi terburuk yang pernah dialami negara tersebut. –AGENSI