Gempa bumi di Ethiopia, penduduk segera berpindah

Gempa bumi landa Ethiopia, penduduk segera berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADDIS ABABA : Operasi pemindahan penduduk sedang giat dijalankan di Ethiopia selepas siri gempa bumi melanda kawasan utara negara itu, dengan gegaran terkuat berukuran 5.8 skala Richter.

Gempa bumi tersebut dilaporkan berlaku di kawasan pedalaman yang merangkumi wilayah Afar, Oromia dan Amhara, susulan aktiviti seismik yang berintensiti tinggi sejak beberapa bulan lalu.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut Perkhidmatan Komunikasi Kerajaan Ethiopia, kira-kira 80,000 penduduk tinggal di kawasan terjejas, dengan kumpulan yang paling terdedah kepada risiko telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

“Gegaran semakin meningkat dari segi magnitud dan kekerapan,” kata kenyataan tersebut sambil menambah pakar telah dihantar untuk menilai tahap kerosakan.

Suruhanjaya Pengurusan Risiko Bencana Ethiopia memaklumkan seramai 20,573 orang telah dipindahkan ke kawasan lebih selamat di wilayah Afar dan Oromia, daripada lebih 51,000 penduduk yang dikenal pasti sebagai terdedah kepada risiko.

Agensi itu juga merancang untuk memindahkan lebih 8,000 orang di Oromia dalam masa beberapa hari akan datang.

Gegaran terbaru berukuran 4.7 skala Richter berlaku pada pukul 12.40 tengah hari waktu tempatan, kira-kira 33 kilometer dari bandar Metehara di Oromia, menurut Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean.

Gempa bumi telah merosakkan rumah penduduk dan meningkatkan risiko letusan gunung berapi Gunung Dofan yang sebelum ini tidak aktif, berhampiran Segento di wilayah Afar.

Walaupun kawah gunung berapi itu tidak lagi mengeluarkan asap, namun penduduk sekitar telah meninggalkan rumah mereka dalam keadaan panik.

Gempa bumi adalah fenomena biasa di Ethiopia kerana kedudukannya di sepanjang Lembah Rift Besar, salah satu kawasan paling aktif secara seismik di dunia.

Pakar menjelaskan, gegaran dan letusan yang berlaku berpunca daripada pergerakan plat tektonik di bawah kawasan Lembah Rift Besar tersebut.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya