PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil serius cadangan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail agar badan pengadil Liga Malaysia tidak lagi berada di bawah badan induk itu dan beroperasi secara bebas.
Timbalan Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk S. Sivasundaram menegaskan bahawa pihaknya akan memperhalusi cadangan tersebut bagi memastikan mutu pengadilan terus berada pada tahap terbaik.
“FAM sangat menghargai semua teguran dan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail. Kami akan meneliti secara mendalam cadangan Baginda mengenai penubuhan badan bebas untuk menguruskan pengadil Liga Malaysia.
“FAM menerima teguran ini dengan hati yang terbuka dan akan memastikan setiap keputusan yang diambil adalah demi kebaikan bola sepak negara,” kata Sivasundaram.
Dalam pada itu, Sivasundaram turut menjelaskan bahawa pasukan yang tidak berpuas hati dengan prestasi pengadil tempatan boleh memohon untuk menggunakan khidmat pengadil luar negara.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, kos bagi mendapatkan pengadil luar termasuk elaun, penginapan serta perbelanjaan lain perlu ditanggung oleh pasukan sendiri.
“Kos untuk membawa masuk pengadil luar negara sangat tinggi kerana pembayaran dibuat dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (USD). Oleh itu, FAM dan MFL tidak akan menanggung sebarang kos sekiranya ada pasukan yang mahu menggunakan khidmat mereka.
“Pengadil kita telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan tahap pemahaman Undang-undang Permainan yang tinggi serta kecergasan yang mantap. Mereka juga dibantu oleh sistem Bantuan Video Pengadil (VAR), sekali gus meningkatkan ketepatan dalam membuat keputusan.
“Pengadil tempatan seperti Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Zairul Khalil Tan serta Mua’zi Zainai Abidin telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila bertugas di Piala Asia dan ‘AFC Elite Champion League’. Malah, Nazmi kini merupakan calon pengadil Piala Dunia 2026,” ujarnya lagi.