PETALING JAYA: Bimbang nama disenarai hitam dan masa depan gelap antara faktor pemain bola sepak Liga Malaysia (Liga) mengambil sikap berdiam diri daripada membuat laporan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pemain-pemain muda antara individu paling ‘takut’ untuk bersuara walaupun ditindas oleh majikan yang tidak membayar gaji mereka beberapa bulan.
Biarpun pemain yang membuat laporan rasmi kepada FAM ataupun Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) ‘dikatakan’ dilindungi maklumat mereka daripada terdedah namun pada akhirnya, perkara itu tetap bocor serta diketahui oleh kelab terbabit.
Lebih parah, apabila kelab-kelab lain mendapati seseorang pemain itu merupakan individu yang lantang bersuara maka namanya kemungkinan besar akan ‘digam’.
Keadaan itu, menyaksikan kerjayanya sebagai pemain bola sepak bakal berakhir kecuali dia merupakan seorang pemain bintang atau mempunyai hubungan baik dengan mana-mana jurulatih ataupun pengurusan kelab lain.
Justeru, badan induk bola sepak itu disarankan mewujudkan statut atau undang-undang khas untuk melindungi maklumat pengadu dan jika perkara itu bocor, FAM perlu menanggung ganti rugi.
Seorang pemain muda dalam Liga Super yang enggan namanya dikenali berkata, antara faktor utama dia dan para pemain muda lain mengambil sikap berdiam diri daripada membuat laporan rasmi kepada pihak berkenaan adalah kerana bimbang masa depan untuk terus menjadi pemain profesional akan gelap.
Jelasnya, walaupun FAM dan PFAM sentiasa menggesa pemain untuk tampil membuat laporan rasmi sebelum mereka mengambil tindakan kepada kelab berkenaan, namun ia belum cukup untuk membuat pemain-pemain ini berasa ‘selamat’.
“Saya nak main bola lama lagi, kalau saya buat laporan rasmi tentang masalah gaji mungkin kerjaya saya sebagai pemain bola sepak profesional akan berakhir.
“Saya baru beberapa tahun menjadi pemain Liga Super dan sering dengar kalau belum ada nama atau jadi bintang, jika buat laporan rasmi tentang gaji tertunggak, sukar mendapat tempat dengan pasukan lain.
“Walaupun FAM dan PFAM sentiasa beritahu pemain perlu buat laporan rasmi namun tiada jaminan mereka beri untuk pastikan nama tidak terdedah kepada kelab yang dilaporkan atau kelab lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sehingga kini beberapa pasukan Liga Super dan juga Liga A1 masih bergelut untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain susulan menawarkan gaji terlalu tinggi melebihi bajet pasukan.
Selain itu, kegagalan mendapat penaja atau penaja ‘lari’ juga menjadi punca utama kelab-kelab ini terjerumus dalam masalah kewangan yang parah.
Lebih parah, tunggakan gaji berkenaan berlanjutan hingga sembilan bulan sekali gus memberi kesukaran kepada pemain-pemain untuk membayar komitmen bulanan dan berbelanja harian.-UTUSAN