PONTIAN: Pasangan suami isteri warga emas di Kampung Chokoh Laut, Serkat, dekat sini diselamatkan oleh anggota bomba dan penyelamat untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sinaran Chokoh apabila rumah mereka dinaiki air banjir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba, Mahadir Mamat berkata, kediaman pasangan itu yang terletak berhampiran pintu air telah dimasuki air susulan berlakunya fenomena air pasang besar pagi tadi.
Ramli Sabar, 62, dan Rubiah Karis, 82, yang uzur ditemukan oleh anggota bomba semasa melakukan rondaan di kawasan tersebut.
“Pihak kami menggunakan pengusung bagi membawa isterinya, manakala suaminya didukung oleh anggota bomba keluar dari rumah ke kenderaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mahadir sehubungan itu menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan berpindah segera sekiranya paras air naik semasa pertembungan dengan air pasang besar.
Sementara itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang baharu dibuka di Dewan Haji Arshad, Benut pada pukul 12.30 tengah hari bagi menempatkan tujuh mangsa daripada keluarga dari Jalan Wawasan, Jalan Benteng dan Kampung Parit Abdul Rahman.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian dalam kenyataan memaklumkan, setakat pukul 3 petang ini terdapat 643 mangsa daripada 180 keluarga ditempatkan di 10 PPS di daerah ini.
Jumlah itu bertambah berbanding lebih 500 mangsa pada pukul 8 pagi tadi. – UTUSAN