Dua maut dalam serangan tahun baharu di Ukraine

Dua maut dalam serangan tahun baharu di Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV : Russia melancarkan serangan dron terhadap ibu kota Ukraine, Kyiv, awal pagi semalam, menyebabkan dua terbunuh, enam cedera dan beberapa bangunan musnah di dua daerah, menurut pihak berkuasa.

Letupan kuat menggegarkan langit di waktu pagi ketika angkatan udara Ukraine memberi amaran mengenai serangan dron.

Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko memaklumkan sistem pertahanan udara sedang memintas serangan musuh.

Menurut Perkhidmatan Kecemasan Ukraine, sebuah bangunan kediaman dua tingkat di pusat bandar Kyiv rosak teruk akibat serangan itu, menyebabkan dua kematian.

Gambar yang dikongsikan oleh agensi tersebut menunjukkan pasukan bomba memadamkan kebakaran di sudut bangunan yang musnah, manakala penyelamat membantu mangsa, termasuk warga emas.

Bank Negara Ukraine memaklumkan salah satu bangunannya turut rosak akibat serpihan dron yang ditembak jatuh.

Serpihan serangan turut merosakkan sebuah bangunan bukan kediaman di kawasan lain, kata pihak berkuasa.

“Walaupun pada malam tahun baharu, Russia hanya memikirkan cara untuk menyakiti Ukraine,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam media sosial sebagai respon kepada serangan tersebut.

Tentera Ukraine melaporkan telah menembak jatuh 63 daripada 111 dron yang dilancarkan Russia di seluruh wilayah negara itu pada malam kejadian, manakala 46 lagi dron berjaya dinyahaktifkan melalui gangguan elektronik.

Russia secara konsisten melancarkan serangan udara terhadap bandar-bandar Ukraine yang jauh dari garis hadapan sejak hampir tiga tahun lalu, ketika tenteranya meneruskan serangan ke timur Ukraine. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya