CIREBON: Setelah dilaporkan hilang selama 23 tahun, seorang wanita pekerja migran Indonesia (PMI), Tarsinah, 38, akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya di Cirebon, Jawa Barat, semalam.
Kepulangan Tarsinah menjadi detik penuh bermakna yang mengubati penantian panjang keluarga yang tidak pernah berputus asa berdoa untuknya, lapor Tribunnews.
Tarsinah, anak ketiga kepada Sana, 80, meninggalkan kampung halamannya sejak 2002 untuk bekerja di Selangor, namun, komunikasi antara dia dan keluarga terputus selepas empat bulan keberangkatannya.
Terdapat khabar angin yang mengatakan Tarsinah sudah meninggal dunia, namun keluarganya tetap percaya dia masih hidup.
“Walaupun ada yang kata kakak saya sudah meninggal, saya dan emak selalu percaya yang kakak masih hidup,” kata Waenah, 33, adik kepada Tarsinah, ketika ditemui di rumahnya.
Tambah Waenah, mengekalkan keyakinan tersebut tidak mudah, lebih-lebih lagi apabila usaha mereka untuk mencari kakaknya beberapa kali menemukan jalan buntu.
Kepulangan Tarsinah pada Rabu disambut meriah oleh ratusan penduduk kampung yang memenuhi halaman rumah keluarganya.
Menurut Waenah, meskipun keluarganya pernah ditawarkan pampasan sebagai pengganti kehilangan Tarsinah, mereka menolaknya.
Dalam suasana penuh emosi itu, Tarsinah dilihat hanya mampu termenung, seolah-olah masih terkejut dengan kepulangannya.
“Selepas ini, saya hanya mahu bergembira bersama keluarga,” kata Tarsinah.
Kepulangan Tarsinah mendapat usaha pelbagai pihak, termasuk bantuan daripada pihak pemerintah desa.