SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol kini menghadapi tekanan lebih besar apabila siasatan baharu boleh membawa kepada usaha penahanannya atas tuduhan pemberontakan.
Ia selepas seorang penyiasat kanan berikrar untuk memecahkan sekatan keselamatan dan menangkap pemimpin yang dipecat itu.
Penunjuk perasaan yang menyokong dan membantah Suk Yeol terus berhimpun di sekitar kawasan kediaman Presiden itu, walaupun dalam keadaan cuaca sejuk membeku, susulan mahkamah mengeluarkan semula waran tangkap terhadapnya sehari sebelum itu.
Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PSS) dilihat memperkukuh keselamatan di kediaman Presiden dengan memasang kawat berduri dan pagar penghalang.
Pihaknya malah menggunakan bas untuk menghalang akses ke vila di lereng bukit tempat Suk Yeol dipercayai bersembunyi selepas mengingkari arahan hadir untuk disoal siasat.
Suk Yeol kini disiasat atas dakwaan pemberontakan berikutan tindakan beliau mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu, yang mengejutkan negara dan membawa kepada waran tangkap pertama dikeluarkan terhadap Presiden yang masih berkuasa.
Selain itu, beliau turut menghadapi perbicaraan di Mahkamah Perlembagaan atas dakwaan melanggar tanggung jawabnya sebagai Presiden dengan pengisytiharan undang-undang tentera, pada malam 14 Disember lalu.
Ketua Pejabat Siasatan Rasuah Pegawai Tertinggi (CIO), Oh Dong-woon yang mengetuai siasatan terhadap Suk Yeol memohon maaf atas kegagalan cubaan penahanan minggu lalu, selepas kebuntuan selama enam jam di kawasan kediaman Presiden.
Dong-woon menarik semula usaha itu selepas dihalang oleh rantaian manusia yang terdiri daripada ratusan anggota PSS dan pengawal tentera.
“Kami akan memastikan persiapan lebih rapi agar usaha kedua ini menjadi yang terakhir,” katanya kepada Jawatankuasa Parlimen.
Menurut laporan media tempatan, beberapa senario sedang dipertimbangkan, termasuk mengerahkan pasukan khas polis bersama peralatan berat untuk merobohkan halangan.
Ia diikuti tindakan mengerahkan lebih 2,000 anggota polis untuk mengatasi pengawal Presiden.
Usaha itu mungkin mengambil masa sehingga tiga hari bagi melemahkan kawalan pasukan keselamatan Presiden.
Menerusi cubaan penahanan sebelum ini, CIO dan pihak polis berhadapan dengan lebih 200 anggota PSS, termasuk sebahagian yang bersenjata, serta pasukan tentera yang ditugaskan menjaga keselamatan Presiden, sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak. -AFP