LONDON: Kerajaan Britain merancang untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap penyeludup dalam usaha mengekang kemasukan migran melalui bot kecil yang merentasi Selat Inggeris.
Langkah berkenaan akan membolehkan Britain menyasarkan individu dan entiti yang terlibat dalam perjalanan berbahaya tersebut.
Menteri Luar, David Lammy dijangka mendedahkan rancangan itu secara rasmi dalam satu ucapan hari ini, ketika Kerajaan menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk menangani isu kemasukan migran yang mencetuskan kontroversi dari Perancis.
Sejak mengambil alih pentadbiran, Perdana Menteri, Keir Starmer membatalkan rancangan kerajaan Konservatif sebelum ini untuk menghantar sebahagian migran ke Rwanda.
Sebaliknya, beliau berikrar untuk ‘menghapuskan kumpulan jenayah’ yang mengendalikan perjalanan tersebut.
Menurut Kementerian Luar, rejim sekatan baharu ini dijangka dikuatkuasakan dalam tempoh setahun selepas undang-undang diluluskan di Parlimen.
Ia akan menyasarkan ‘rangkaian imigresen terancang’ dengan tumpuan untuk memutuskan aliran kewangan di peringkat sumber bagi menghalang kegiatan penyeludupan.
Sekatan itu akan melibatkan pakar dari pelbagai agensi kerajaan, bekerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasaan dan kementerian dalam negeri untuk mengekang jenayah ini.
Langkah sekatan sedia ada, seperti yang digunakan terhadap pegawai Rusia berkaitan perang di Ukraine, termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan ke Britain.
“Kita mesti menghancurkan kumpulan jenayah yang melanggar sempadan kita,” kata Starmer dalam kenyataan menjelang ucapan Lammy.
Tambah beliau, dengan memutuskan rangkaian kewangan haram yang membolehkan penyeludup membawa manusia rentas Eropah, kerajaannya akan memastikan sempadan Britain lebih selamat.
“Kita perlu berani dan inovatif dalam menggubal dasar, memastikan setiap langkah diambil untuk melindungi nyawa dan sempadan negara,” katanya lagi.-AGENSI