KUALA LUMPUR: Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Perak mencatat sejarah apabila program BRIDGE (Building Responsible Individual Through Diverse Global Experiences) diiktiraf sebagai ‘The Best Project’ dalam inisiatif kelestarian dalam pendidikan.
Menerusi inisiatif Unit Sains Sosial, program ini telah berjaya membimbing 29 buah institusi pendidikan, merangkumi 17 buah sekolah rendah, 11 buah sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional dalam projek kelestarian pendidikan.
Program ini mengaitkan pendekatan 5P Framework iaitu People, Planet, Prosperity, Peace dan Partnership sejajar dengan Sustainable Development Goals (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Anugerah ini merupakan anugerah berprestij anjuran Persatuan Rangkaian Perniagaan Mampan Malaysia (SustNET).
BRIDGE menekankan pelaksanaan 17 SDG melalui pendekatan inovatif, termasuk pembelajaran berasaskan projek, penyelidikan, tindakan dan kolaborasi antara institusi.
“BRIDGE berfungsi sebagai katalis dalam mengintegrasikan elemen kelestarian ke dalam ekosistem pembelajaran. Semua sekolah yang terlibat telah dibimbing dalam elemen SDG dan 5P Framework.
“Pencapaian ini membuka lembaran baharu dalam landskap pendidikan negeri Perak bagi memperkasakan para pendidik dan murid untuk menjadi ejen perubahan dalam mencapai matlamat SDG.
“Ia membuktikan bahawa pendekatan holistik dalam pendidikan lestari mampu membawa transformasi positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” kata Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai.
Dalam majlis itu, Safuan menerima pengiktirafan sebagai Partners Collaboration dan turut dinobatkan sebagai penerima Excellent Leadership Sustainability.
Program ini merupakan salah satu program pendidikan yang memartabatkan kelestarian dalam pendidikan yang dianjurkan oleh sektor ini, ia enekankan teras yang dikaitkan dengan SDG dan 5P Framework, fasa-fasa pemerkasaan dibina dan diaptasi untuk disesuaikan dengan program yang dijalankan.
Selain BRIDGE, Program Propulih anjuran Unit Bahasa turut memperoleh pengiktirafan sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu dalam meningkatkan kualiti pendidikan.
Program Propulih adalah program yang dijalankan untuk menangani isu literasi bacaan bagi murid menengah rendah iaitu bermula murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 yang telah dikenal pasti melalui Ujian Pengesanan.
Ujian pengesanan dilaksanakan kepada kelompok murid yang mempunyai masalah literasi bacaan sahaja oleh penyelaras sekolah.
Presiden Persatuan Rangkaian Perniagaan Mampan Malaysia (SustNET), Jamaludin Hussain berkata, penganjuran tahun keenam itu dilaksanakan sebagai bukti komitmen berterusan pihaknya memacu perubahan positif dalam konteks kemampanan kepada masyarakat dan negara.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Anugerah Kelestarian Pengurusan Projek Hijau (GPM) Malaysia 2024 yang bertempat di Dewan Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), semalam.
Hadir sama, CEO Kumpulan Antah Healthcare, Tunku Datuk Mohamed Alauddin Tunku Naquiyuddin; Pengerusi Anugerah Kelestarian GPM 2024, Ir Ts Hisham Yahaya; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Ts Shamsul Bahar Mohd Nor; Setiausaha Agung SustNET, Ts Dr Norsaidatul Akmar Mazelan serta ramai lagi.-UTUSAN