Bomba terpaksa pakai air tasik padam api di Los Angeles

Bomba terpaksa pakai air tasik padam api di Los Angeles

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Situasi di California bertambah buruk dengan masalah kekurangan air bersih yang kronik selepas saiz kebakaran hutan yang melanda sebahagian besar kawasan di Los Angeles meningkat lebih empat kali ganda sejak awal pagi semalam.

Pihak berkuasa juga mengeluarkan amaran bekalan air tidak selamat kepada penduduk di Pacific Palisades, menggesa mereka untuk hanya minum air yang dimasak atau dari botol air tulen.

Anggota bomba juga terpaksa mengambil air dari kolam renang dan tasik untuk memadamkan api selepas kebakaran yang dikesan di Eaton dan Palisades dilaporkan memusnahkan hampir 10,600 hektar tanah di Los Angeles.

Ribut taufan yang membawa angin kencang mendorong kebakaran lebih marak di kawasan perumahan mewah Pacific Palisades, memusnahkan sebahagian besar hartanah California yang menjadi idaman dan digemari selebriti Hollywood.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden turut mengisytiharkan bencana besar sedang berlaku di California, memudahkan pembiayaan Persekutuan tersedia untuk individu yang terjejas.

Kebakaran luar biasa itu sudah mengorbankan lima orang dan lebih 100,000 penduduk diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing. 

Sekurang-kurangnya berlaku enam kebakaran yang kian marak di Los Angeles dan daerah berdekatan, Ventura. 

Kebakaran baharu dinamakan sebagai Sunset Fire, berlaku di Hollywood Hills dan menyebabkan arahan pemindahan wajib termasuk di kawasan yang dipenuhi dengan rumah selebriti Hollywood. 

Hampir keseluruhan kawasan terjejas adalah di selatan California, terutamanya di Los Angeles, menurut laman web PowerOutage.

Tiupan angin kencang dan kemarau adalah punca utama di sebalik kebakaran hutan berskala besar yang berlaku ketika pertengahan musim sejuk di California Selatan. 

Penyelidik malah tidak menolak kemungkinan faktor perubahan iklim yang memainkan peranan utama bencana itu. 

“Perubahan iklim termasuk peningkatan haba dan kemarau berpanjangan menjadi pemacu utama yang meningkatkan risiko dan tahap kebakaran hutan di barat Amerika Syarikat.

“California sangat terdedah dengan bencana itu berikutan musim panas yang membahang dan kekurangan hujan sejak beberapa bulan kebelakangan ini,”kata Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan.-BBC 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya