AMSTERDAM: Juara Sukan Olimpik Paris acara 4×400 meter berganti-ganti, Femke Bol, mengumumkan bahawa beliau tidak akan menyertai sebarang perlumbaan individu dalam dewa musim ini, sekali gus melepaskan gelaran juara dunia 400 meter Kejohanan Dunia Olahraga Dalam Dewan 2025 di Nanjing pada Mac ini.
Pelari Belanda itu, yang memenangi gangsa Olimpik dalam acara 400 meter lari berpagar di Paris 2024 dan Tokyo 2020, menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada kehidupan di luar sukan selepas melalui beberapa tahun yang penuh dengan kejohanan besar.
“Selepas kitaran Olimpik yang panjang dengan banyak kejohanan menakjubkan, kami memutuskan untuk melakukannya dengan cara berbeza tahun ini.
“Saya masih berlatih keras untuk musim yang berjaya, tetapi saya juga merasakan perlunya sedikit lebih banyak masa jauh daripada persaingan,” kata Bol menerusi Instagram pada Selasa.
Bagaimanapun, Bol tidak dapat menolak peluang untuk berlumba di kejohanan di tanah airnya dan akan tetap bertanding dalam acara berganti-ganti di Kejohanan Eropah Dalam Dewan pada Mac di Apeldoorn.
“Saya teruja untuk melihat apa yang bakal dibawa tahun ini dan berterima kasih atas sokongan semua,” katanya. – AGENSI