NORTH CHARLESTON: Joe Biden melakukan lawatan ke South Carolina pada Ahad, sempena hari terakhirnya sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).
Beliau menyeru rakyat AS untuk ‘terus berpegang kepada keyakinan akan hari yang lebih baik,’ sambil memperingati cuti Kebangsaan untuk menghormati ikon hak sivil, Martin Luther King Jr.
Sehari sebelum menyerahkan Rumah Putih kepada Donald Trump, Biden menghadiri upacara di Royal Missionary Baptist Church, sebuah gereja bersejarah untuk komuniti kulit hitam di North Charleston.
Biden berjanji beliau ‘tidak akan ke mana-mana’, malah memberitahu Amerika ‘perlu terus terlibat dan mesti sentiasa berpegang kepada keyakinan akan hari yang lebih baik’.
Beliau juga berbicara tentang perjuangan yang berterusan untuk merealisasikan impian King tentang sebuah negara yang tidak memandang status warna kulit.
Kemajuan dalam isu perkauman di AS tidak pernah berlaku secara lancar, malah ada yang menyifatkan pemilihan Trump sebagai satu langkah ke belakang.
Ini kerana, pada 2015, Trump pernah mendakwa Barack Obama bukan seorang warga AS.
Hari Isnin adalah cuti Kebangsaan di AS bagi menghormati King, penerima Hadiah Nobel Keamanan yang memperjuangkan penentangan tanpa kekerasan dalam usaha mendapatkan hak yang sama rata untuk rakyat Amerika berkulit hitam. Mendiang mati dibunuh pada 1968.-AFP