QUETTA: Seorang bapa mengaku menembak mati anak perempuannya yang berusia 15 tahun kerana tidak bersetuju dengan kandungan yang dimuat naik dalam aplikasi TikTok, kata polis Pakistan.
Bapa mangsa, Anwar ul-Haq, pada mulanya mendakwa anaknya yang dilahirkan di AS itu ditembak oleh individu tidak dikenali, sebelum suspek akhirnya mengaku melakukan jenayah tersebut di sebuah jalan di bandar Quetta, barat daya Pakistan, semalam.
Menurut pegawai polis, Babar Baloch, siasatan awal mendapati keluarga suspek tidak bersetuju dengan cara berpakaian, gaya hidup dan pergaulan mangsa.
“Kami mempunyai telefon bimbitnya, tetapi ia masih berkunci.
“Kami sedang menyiasat dari semua sudut, termasuk kemungkinan pembunuhan atas dasar ‘maruah keluarga’,” kata penyiasat polis, Zohaib Mohsin, kepada Reuters.
Difahamkan, keluarga itu baru sahaja pulang ke wilayah Balochistan selepas menetap di AS selama 25 tahun.
Haq, yang juga pemegang kewarganegaraan AS, memberitahu polis anak perempuannya mula berkongsi kandungan yang dianggap ‘tidak wajar’ di TikTok ketika berada di AS dan masih meneruskannya selepas kembali ke Pakistan.
Selain itu, abang ipar suspek turut ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan tersebut dan Haq kini berdepan pertuduhan membunuh, kata polis.
Bagaimanapun, polis tidak memberikan bukti mengenai kewarganegaraan AS suspek, melainkan pengakuannya sendiri, dan enggan mengulas sama ada pihak kedutaan AS telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Sementara itu, keluarga mangsa enggan memberi sebarang komen kepada Reuters.
Pakistan, negara dengan penduduk seramai 241 juta orang, mempunyai lebih 54 juta pengguna TikTok.
Kerajaan sebelum ini beberapa kali menyekat aplikasi tersebut atas alasan isu kawalan kandungan.
Setiap tahun, lebih 1,000 wanita di Pakistan menjadi mangsa pembunuhan oleh ahli keluarga atau komuniti atas dakwaan mencemarkan ‘maruah keluarga’.
Antara sebabnya termasuk berkahwin tanpa kebenaran, bergaul dengan lelaki bukan mahram atau memuat naik kandungan media sosial yang dianggap bertentangan dengan nilai konservatif masyarakat.-AGENSI