KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan legenda beregu Indonesia, Herry Iman Pierngadi sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu menggantikan Tan Bin Shen yang menamatkan tugasnya pada 13 Januari ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam yang berkata, pelantikan ini juga bertujuan untuk memantapkan lagi jabatan beregu lelaki negara setelah mengalami banyak prestasi yo-yo pada musim lalu.
“Tempoh rasmi Herry akan memulakan tugasnya bersama BAM pada 1 Februari 2025 dengan kontrak selama empat tahun.
“Kami sangat meneliti calon kami, kerana sebagai satu pasukan kami harus melihat dari setiap sudut dan aspek untuk mendapatkan jurulatih terbaik,” kata Subramaniam pada Sidang Akhbar Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Axiata Arena, hari ini.
Herry atau lebih dikenali sebagai Herry IP membawa dua beregu lelaki Indonesia meraih pingat emas Olimpik iaitu Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Markis Kido-Hendra Setiawan (Beijing 2008).
Bin Shen yang akan menamatkan tugasnya selepas Terbuka Malaysia 2025 ini akan memulakan tugasnya sebagai jurulatih untuk Persatuan Badminton Hong Kong pada Februari ini.
Sebelum ini, nama seperti Flandy Limpele, Paulus Firman, Lee Wan Wah, Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong dikaitkan dengan kerusi panas berkenaan. – UTUSAN