KOTA TINGGI: Seorang bakal pengantin maut manakala dua adiknya cedera dalam kemalangan membabitkan Perodua Myvi dan sebuah lori Hino di Kilometer 52 Jalan Johor Bahhru – Mersing petang tadi.
Kemalangan menyebabkan mangsa Siti Nabila Rudin, 22, maut di lokasi kejadian manakala dua adiknya mengalami cedera.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihak polis mendapat maklumat kejadian itu dari orang awam kira-kira pukul 4 petang.
“Kemalangan melibatkan Perodua Myvi yang dipandu seorang perempuan tempatan berumur 22 tahun bersama
penumpang iaitu adiknya seorang lelaki tempatan berusia 14 tahun dan seorang perempuan tempatan berusia 22 tahun.
“Dalam kemalangan tersebut, pemandu Perodua Myvi telah mengalami
kecederaan parah di bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kejadian disyaki berlaku apabila kenderaan Perodua Myvi dipercayai cuba untuk memotong kenderaan di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan lori jenis Hino,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya mangsa bersama adik beradiknya difahamkan dalam perjalanan pulang dari Kota Masai ke Tanah Merah Kelantan dimana mangsa bakal melangsungkan perkahwinan di Kelantan.
Menurutnya mayat mangsa dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Tambahnya manakala kesemua mangsa yang cedera telah dirujuk ke hospital sama bagi rawatan lanjut.
“Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.