PINRANG: Seorang pelajar tahfiz ditemukan maut dalam keadaan memeluk naskhah al-Quran dalam kebakaran di asrama putra Pondok Pesantren Mambaul Ulum Addariah Patobong di Kabupaten Pinrang, Sulawesi Selatan.
Menurut seorang petugas di pesantren itu, terdapat dua orang pelajar yang cuba memasuki bangunan asrama untuk menyelamatkan barang milik mereka, ketika kebakaran berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Rabu lalu.
“Ketika kejadian sekitar waktu Zuhur, kebanyakan pelajar berada di masjid. Ketika itulah, kebakaran tercetus di sebuah bangunan asrama lelaki.
“Saya melarang mereka mendekati dan memasuki bangunan yang terbakar, tetapi ada dua pelajar juga yang masuk termasuk mangsa,” katanya lapor Detik.com.
Difahamkan, seorang pelajar lain sempat menyelamatkan diri dengan melompat dari tingkat dua bangunan asrama berkenaan, manakala, mangsa dikenali sebagai Muhammad Zahwa, 14, tidak sempat menyelamatkan dirinya.
“Seorang pelajar berjaya melompat dan selamat, sementara seorang lagi mungkin terjatuh dari tingkat dua ke tingkat satu kerana bangunan sudah terbakar.
“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan memeluk al-Quran selepas anggota bomba berjaya memadam kebakaran,” katanya.