KLANG: Asid kitar semula dipercayai menjadi punca sebuah kilang di Taman Perindustrian Kapar Bestari, di sini meletup petang tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati bahan kimia tersebut disimpan di pekarangan kilang berkenaan.
“Lebih kurang 4.45 petang pusat kawalan daerah Klang Utara telah menerima panggilan berhubung kejadian itu. Didapati terdapat kerosakan pada bangunan kilang tersebut dan kilang berhampiran.
“Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pihak bomba dan unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) sedang menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya pada malam ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu pukul 4.32 petang.
Menurutnya, seramai 14 pegawai serta anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dan Shah Alam yang terlibat dalam operasi mengendalikan kejadian itu.
“Setibanya di lokasi kejadian, asap berwarna kuning yang memedihkan mata (berada di kilang itu). Pasukan Hazmat telah menjalankan ujian udara dan bacaan udara masih normal. Bahan yang dipercayai terbakar adalah asid kitar semula,” katanya yang turut memberitahu sebuah lori tangki hancur dan terbakar akibat letupan terbabit.-UTUSAN.