AS lancar pelaburan RM473 Bilion bagi infrastruktur AI -

AS lancar pelaburan RM473 Bilion bagi infrastruktur AI

DONALD Trump berucap pada Majlis Pelantikan Presiden Amerika Syarikat ke-47 di Capitol, Washington, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tiga syarikat teknologi terkemuka mengumumkan kerjasama untuk menubuhkan syarikat baharu, Stargate, bertujuan memperkukuh pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Amerika Syarikat (AS).

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman; Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank, Masayoshi Son; dan Pengerusi Oracle, Larry Ellison, bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam satu majlis di Rumah Putih pada Selasa.

Trump menyifatkan inisiatif tersebut sebagai ‘projek infrastruktur AI terbesar dalam sejarah’.

“Infrastruktur fizikal dan maya ini akan menggerakkan generasi AI akan datang,” katanya.

Projek Stargate akan dimulakan dengan pelaburan awal sebanyak AS$100 bilion (RM473 bilion) dan dijangka mencecah AS$500 bilion (RM2.37 trilion) dalam beberapa tahun akan datang dan menurut Trump, projek ini dijangka mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan baharu di AS.

Menurut Altman, projek ini penting untuk memastikan AS kekal mendahului persaingan teknologi AI dengan China, memandangkan AI bakal mempengaruhi sektor ekonomi dan ketenteraan secara besar-besaran.

“Infrastruktur di AS amat penting. AI berbeza daripada perisian biasa kerana memerlukan infrastruktur besar seperti cip komputer, pusat data dan tenaga. Kita perlu membina semuanya di sini untuk memastikan teknologi dan keupayaan kita berada di hadapan,” katanya.

Dalam perkongsian strategik itu, SoftBank bertanggungjawab terhadap kewangan projek, manakala OpenAI mengurus operasi Stargate dan Masayoshi Son akan bertindak sebagai pengerusi Stargate.

Menurut Oracle, projek ini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan AS dalam sektor AI, tetapi juga menyumbang kepada keselamatan negara dan menyediakan peluang ekonomi global yang besar.

Namun, sejarah menunjukkan pengumuman pelaburan besar-besaran seumpama ini tidak selalu membuahkan hasil seperti yang diharapkan kerana pada tahun 2017, Trump mengumumkan pelaburan AS$10 bilion (RM44 bilion) oleh Foxconn untuk sebuah kilang elektronik di Wisconsin yang dijangka mewujudkan 13,000 pekerjaan.

Bagaimanapun, projek tersebut gagal mencapai matlamat asal, dengan pelaburan dikurangkan kepada AS$672 juta (RM 2 bilion) dan hanya menyediakan kurang daripada 1,500 pekerjaan.

Sementara itu, Trump turut membatalkan satu perintah eksekutif yang diperkenalkan oleh bekas Presiden Joe Biden pada 2023, yang bertujuan memantau dan mengawal risiko AI.

Dengan pelancaran Stargate, AS berharap untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya