RIYADH : Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menguatkuasakan undang-undang penggunaan kamera pengawasan keselamatan melarang pemindahan atau penyiaran rakaman tanpa kebenaran.
Menurut undang-undang itu, rakaman kamera pengawasan hanya boleh dipindahkan atau disiarkan dengan kelulusan kementerian atau Presiden Keselamatan Negara, berdasarkan perintah kehakiman atau atas permintaan pihak penyiasat.
“Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dikenakan denda sebanyak 20,000 riyal (RM24,950),” jelas kementerian dalam kenyataan.
Peraturan tersebut turut meliputi individu yang memindahkan atau menyiarkan rakaman tanpa kebenaran, serta mereka yang merosakkan atau memusnahkan sistem atau rakaman kamera pengawasan.
Undang-undang penggunaan kamera pengawasan keselamatan, yang berkuat kuasa sejak 3 Oktober 2022, tidak terpakai untuk kamera di dalam unit kediaman persendirian dan kompleks perumahan.
Undang-undang ini turut menggariskan kewajipan menyimpan rakaman tanpa sebarang pengubahan sekiranya berlaku laporan insiden, sehingga prosedur siasatan selesai.
Rakaman tersebut mesti diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri atau Presiden Keselamatan Negara jika diminta.
Langkah ini diambil bagi memastikan integriti sistem pengawasan keselamatan negara dan melindungi privasi individu. –AGENSI