Arab Saudi janji buat pelaburan RM2.64 trilion ke Amerika Syarikat

Arab Saudi janji salur dana RM2.64 trilion kepada Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman berjanji untuk menyalurkan dana berjumlah AS$600 billion (RM2.64 trillion) ke dalam perdagangan dan pelaburan di Amerika Syarikat (AS).  

Putera Mohammed, pemimpin de facto pengeksport minyak terbesar dunia, membuat ikrar itu dalam panggilan telefon selepas pelantikan Donald Trump sebagai Presiden AS, Isnin lalu, lapor media kerajaan Arab Saudi.

“Putera mahkota mengesahkan hasrat kerajaan meluaskan pelaburan dan perdagangannya dengan AS dalam tempoh empat tahun akan datang, yang berjumlah AS$600 bilion dan berpotensi melebihi daripada itu.

“Kedua-dua pemimpin juga membincangkan usaha untuk membawa kestabilan ke Asia Barat, meningkatkan keselamatan serantau dan memerangi keganasan.

“Selain itu, mereka membincangkan cita-cita ekonomi antarabangsa kerajaan Arab Saudi dalam tempoh empat tahun akan datang serta perdagangan dan peluang lain untuk meningkatkan kemakmuran bersama dua negara,” lapor Agensi Saudi Press.

Bagaimanapun, laporan itu tidak memberikan butiran tentang sumber dana yang mewakili lebih separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Arab Saudi atau bagaimana ia dijangka digunakan.

Trump menjalin hubungan rapat dengan Riyadh dalam penggal pertamanya dan kini dijangka mendorong Arab Saudi ke arah menormalkan hubungan dengan Israel sebagai objektif utama dasar luarnya.

Lawatan pertama Trump sebagai Presiden pada 2017 adalah ke Arab Saudi.

Minggu ini, beliau berseloroh mengatakan komitmen kewangan yang besar boleh memujuknya untuk melakukan perkara sama sekali lagi.

Semasa penggal pertama Trump, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi melanggar dasar Arab yang telah lama wujud untuk mengiktiraf Israel di bawah Perjanjian Abraham 2020.

Pentadbiran Trump baharu dijangka cuba mengulangi proses itu dengan Arab Saudi berikutan usaha serupa di bawah bekas Presiden, Joe Biden.

Namun, Arab Saudi memutuskan rundingan dengan pegawai AS mengenai hubungan dengan Israel pada awal perang Gaza dan berulang kali menegaskan ia tidak akan mengiktiraf Israel tanpa kewujudan negara Palestin.

Bagaimanapun, gencatan senjata yang telah lama ditunggu-tunggu di Gaza dan kemungkinan meredanya ketegangan serantau boleh membuka jalan untuk menyambung semula dialog tersebut.

Sebagai pertukaran untuk mengiktiraf Israel, negara terkaya dunia Arab itu berharap untuk mendapatkan pakatan pertahanan AS dan bantuan Washington dengan program nuklear sivil.

Dalam panggilan dengan Putera Mohammed kelmarin, Setiausaha Negara AS baharu, Marco Rubio turut membincangkan tentang isu Syria, Lubnan, Gaza serta ancaman yang ditimbulkan oleh Iran dan proksinya.

“Mereka juga membincangkan faedah perkongsian ekonomi AS-Arab Saudi dan peluang untuk mengembangkan ekonomi mereka dalam pelbagai bidang termasuk kecerdasan buatan (AI),” kata jurucakap Rubio.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya