BEIJING : Angka korban akibat gempa bumi kuat yang melanda daerah Dingri, Tibet, awal pagi tadi meningkat kepada 53 orang.
Gegaran yang turut dirasakan di ibu kota Nepal, Kathmandu dan beberapa bahagian India, turut menyebabkan puluhan yang lain cedera.
Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC), gempa berukuran 6.8 skala Richter berlaku di daerah Dingri, berhampiran sempadan Nepal, pada pukul 9:05 pagi (waktu tempatan)
Agensi Geologi Amerika Syarikat melaporkan gegaran tersebut berukuran 7.1 skala Richter.
Menurut laporan oleh agensi berita rasmi China, Xinhua, sebanyak 53 orang dilaporkan terkorban, manakala 62 yang lain cedera setakat tengah hari tadi, selepas gempa tersebut menggoncang bandar Xigaze, Wilayah Autonomi Tibet (Xizang).
Rakaman video yang disiarkan oleh stesen penyiaran negara CCTV menunjukkan rumah-rumah musnah dengan dinding yang runtuh dan serpihan-serpihan bertaburan di sekitar kawasan yang terjejas.
Suhu di Dingri pada masa itu berada pada paras -8 darjah Celsius dan dijangka menurun hingga -18 darjah pada waktu malam, menurut Pentadbiran Meteorologi China.
Daerah beraltitud tinggi di wilayah Tibet itu juga mempunyai populasi kira-kira 62,000 orang dan terletak di sebelah sisi gunung Everest di China.
Walaupun gempa bumi adalah kejadian biasa di kawasan tersebut, gempa pada hari ini merupakan yang paling kuat direkodkan dalam radius 200 kilometer dalam tempoh lima tahun lalu, menurut CENC.
Wilayah barat daya China sering dilanda gempa bumi termasuk pada 2008, satu gempa besar di Sichuan mengorbankan hampir 70,000 nyawa. –AGENSI