BEIJING : Angka korban akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan kawasan pergunungan di wilayah barat China dan bahagian Nepal semalam, meningkat 126 orang.
Gegaran turut menyebabkan 188 yang lain cedera serta menyebabkan kemusnahan besar dan ratusan rumah musnah.
Agensi Berita Xinhua melaporkan gempa bumi yang berukuran 7.1 skala Richter itu melanda Daerah Tingri, Tibet pada kedalaman 10 kilometer.
Bagaimanapun, Pusat Jaringan Gempa Bumi China mencatatkan magnitud 6.8 dan lazimnya menyebabkan kerosakan lebih parah.
Rakaman oleh Kementerian Pengurusan Kecemasan China menunjukkan pasukan penyelamat gigih mencari mangsa di bawah runtuhan dengan mendaki timbunan batu bata.
Dalam bencana itu, terdapat lebih 1,000 rumah di kawasan yang tandus dan jarang didiami penduduk musnah, manakala kereta-kereta dilihat hancur akibat tertimbus runtuhan bangunan, menurut laporan CCTV.
Sejak gegaran pertama awal pagi semalam, lebih 150 gegaran susulan direkodkan dalam tempoh sembilan jam pertama.
Difahamkan, kira-kira 6,900 penduduk tinggal di sekitar kawasan itu yang mempunyai altitud purata 4,200 meter.
Kerajaan China mengerahkan lebih 3,000 penyelamat ke lokasi bencana, selain memperuntukkan dana 100 juta yuan (RM63 juta) bagi operasi bantuan dan pemulihan.
Tibet, yang terletak di bawah pentadbiran China, sering menjadi perhatian antarabangsa berikutan ketegangan politik dan hak asasi manusia.
Wilayah ini menyaksikan gempa bumi kuat hampir setiap dekad, dengan lebih 10 gegaran enam skala Richter atau lebih direkodkan sepanjang 100 tahun lalu.-AGENSI