PETALING JAYA: Pengikut ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem percaya bahawa terdapat pihak lain yang terbabit dan berperanan dalam penciptaan manusia serta alam selain Allah SWT.
Selain dari membuat dakwaan menghina dan palsu terhadap para Rasul, Nabi dan isteri-isteri mereka, ajaran tersebut turut berpegang kepada konsep kelahiran semula manusia selepas mati atau reincarnation.
Malah, ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem turut mendakwa perbuatan homoseksual belum diharamkan pada zaman Nabi Lut dan perbuatan tersebut bukan merupakan satu kesalahan.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut berkata, pihaknya memutuskan ajaran tersebut sebagai sesat dan menyeleweng daripada akidah Islamiah, syariah dan akhlak serta bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Kata beliau, keputusan tersebut adalah berdasarkan hujah dan fakta dikemukakan penyelidik menerusi kajian serta dapatan yang dilakukan terhadap kandungan ceramah, pengajaran ucapan dan dialog yang disampaikan menerusi media digital.
“Mana-mana individu atau kumpulan orang yang mengamal dan menyebar fahaman, ajaran serta pegangan seumpama ini adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran ini serta dilarang berpegang dan beramal dengannya. Mana-mana orang Islam yang mengikut dan mengamalkan ajaran itu hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Dr Nooh berkata, publisiti, pengajaran, penulisan, penyiaran dan penerbitan bahan bercetak serta apa-apa yang berkaitan dengan ajaran tersebut adalah tidak dibenarkan serta disekat.
“Umat Islam hendaklah berpegang kepada pegangan ASWJ dari aspek akidah berdasarkan manhaj Asyairah da Maturidiah dari segi syariah berpandukan mazhab Shafie serta mazhab muktabar yang lain seperti Hanafi, Maliki dan Hanbali.
“Manakala dari segi tasawuf atau akhlak berpandukan manjah Iman al-Junaid, Imam al-Ghazali serta aliwan tasawuf yang sihaih dan muktabar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI.
Jelasnya, ia turut dibawa ke Mesyuarat Majlis Raja Raja yang ke-267 pada 23 hingga 24 Oktober lalu.
“Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri-negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN