SYDNEY: Saintis Australia sedang mengkaji teknik baharu menggunakan nyamuk yang menghasilkan ‘air mani beracun’ sebagai senjata untuk mengawal penyebaran penyakit tropika seperti malaria dan demam denggi.
Teknik yang dikenali sebagai ‘kaedah jantan beracun’ itu menyasarkan pembiakan nyamuk jantan yang mengeluarkan protein beracun dalam air mani, menyebabkan nyamuk betina mati selepas mengawan.
Langkah ini penting kerana hanya nyamuk betina yang menggigit dan menghisap darah manusia, sekali gus menyebarkan penyakit, kata Saintis dari Universiti Macquarie, Sam Beach.
“Kaedah inovatif ini berpotensi bertindak sepantas racun serangga tanpa menjejaskan spesies lain yang bermanfaat,” katanya.
Saintis tersebut percaya pendekatan ini boleh membawa kepada pengurusan serangga perosak yang lebih mampan, sekali gus memberi harapan kepada komuniti yang lebih sihat.
Dalam ujian awal, pasukan penyelidik menggunakan lalat buah sebagai model kerana kitaran hidupnya yang pendek iaitu hanya dua minggu.
Hasil ujian menunjukkan lalat betina yang mengawan dengan lalat jantan beracun mempunyai jangka hayat yang jauh lebih pendek.
Menurut penyelidik, nyamuk perlu diubah suai secara genetik agar hanya menghasilkan air mani beracun setelah dilepaskan ke habitat liar.
Kaedah ini boleh dilakukan melalui teknik ‘ekspresi bersyarat’, yang menggunakan bahan kimia atau pencetus biologi lain untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan gen tertentu apabila diperlukan.
Pendekatan ini membolehkan nyamuk jantan beracun mengawan secara normal dalam makmal dan menghasilkan keturunan yang mencukupi untuk penghasilan skala besar.
Kejuruteraan genetik telah digunakan selama bertahun-tahun untuk mengawal populasi nyamuk penyebar penyakit.
Sebelum ini, kaedah lain yang popular adalah dengan melepaskan sejumlah besar nyamuk jantan yang dimodifikasi secara genetik agar mandul.-AFP