DAMSYIK: Pihak berkuasa baharu Syria mengumumkan Ahmed al-Sharaa dilantik sebagai Presiden sementara dan diberi mandat untuk membentuk badan perundangan peralihan, lapor media kerajaan.
Menurut agensi berita Sana, al-Sharaa kini mengetuai pentadbiran peralihan sehingga 1 Mac depan dan akan mewakili Syria dalam forum antarabangsa.
“Al-Sharaa diberikan tanggungjawab untuk membentuk sebuah majlis perundangan sementara sehingga Perlembagaan tetap negara diputuskan,” lapor Sana, sambil menambah Parlimen dibubarkan dan Perlembagaan digantung.
Pengumuman itu dibuat dalam satu persidangan mengenai kemenangan revolusi Syria yang turut dihadiri al-Sharaa, Menteri Luar, Asaad al-Shaibani serta pemimpin kumpulan bersenjata.
Pelantikan itu dibuat selepas pakatan pejuang yang diketuai kumpulan pejuang Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menggulingkan Bashar al-Assad pada 8 Disember lalu menerusi serangan kilat, sekali gus menamatkan pemerintahan kuku besi keluarganya yang berlanjutan selama lima dekad.
Dalam ucapan perdananya, al-Sharaa menegaskan keutamaan kerajaan baharu ialah mengisi kekosongan kuasa, mengekalkan keamanan negara, membangunkan semula institusi kerajaan serta merangka ekonomi berorientasikan pembangunan.
“Misi pihak yang menang adalah berat dan tanggungjawab mereka amat besar,” katanya.
Bulan lalu, beliau memaklumkan pilihan raya hanya boleh diadakan dalam tempoh empat tahun lagi, manakala proses menggubal Perlembagaan baharu mungkin mengambil masa sehingga tiga tahun.
Sebelum ini, kerajaan baharu pernah menyatakan hasrat untuk mengadakan persidangan dialog nasional yang melibatkan pelbagai pihak politik di Syria, namun laporan Sana tidak menyebut sebarang perkembangan mengenainya.
Konflik di Syria tercetus pada 2011, selepas Bashar bertindak menindas tunjuk perasaan aman rakyat yang menuntut perubahan politik sehingga menyebabkan berlakunya perang saudara yang berlarutan selama lebih sedekad yang meragut lebih 500,000 nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk menjadi pelarian.
HTS yang berakar daripada cabang Al-Qaeda Syria sebelum ini disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh banyak negara termasuk Amerika Syarikat.
Namun, kumpulan itu kini dilaporkan sedang berusaha untuk menampilkan imej lebih sederhana dan berjanji untuk melindungi hak-hak kaum serta agama minoriti di Syria.
Sejak penggulingan Bashar, beberapa diplomat Barat telah mengunjungi Syria bagi menggesa kerajaan baharu memastikan peralihan kuasa yang inklusif dan menyeluruh. -AGENSI