PETALING JAYA: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) yang sepatutnya diadakan pada hari ini tidak dapat diteruskan berikutan berlaku kekecohan sebelum sesi pemilihan dibuat.
Situasi tegang berlaku apabila difahamkan pencabar utama calon Presiden PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin dan beberapa ahli yang lain tidak dibenarkan masuk ke mesyuarat tersebut.
Pertengkaran telah berlaku selama hamper 10 minit sebelum keadaan kembali tenang seketika dan Megat dibenarkan masuk setelah mendapat kebenaran.
Bagaimanapun, keadaan kecoh masih berterusan di luar dewan apabila berlaku pertengkaran selepas ahli yang tidak mempunyai pas tidak dibenarkan masuk.
Ekoran situasi tidak harmoni telah menyebabkan Jawatankuasa Pemilihan PHKL membuat keputusan untuk tidak meneruskan mesyuarat tersebut. – UTUSAN