Aaron-Wooi Yik cemas sebelum mara ke pusingan kedua

Aaron-Wooi Yik cemas sebelum mara ke pusingan kedua

AKSI pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menentang pasangan Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Smith Presley pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, di Axiata Arena, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 2 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila mara ke pusingan kedua selepas membenam pasangan ke-37 dunia, Chen Zi Yi-Presley Smith pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, sebentar tadi.

Gandingan No. 6 dunia itu, bagaimanapun, dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas pasangan Amerika Syarikat (AS) 21-15, 16-21, 21-10 dalam masa 57 minit.

Wooi Yik berkata, beliau bersama Aaron masih belum menyesuaikan diri dengan keadaan angin dalam gelanggang menyebabkan mereka sukar untuk menangani serangan pasangan AS itu sekali gus menjurus kepada kekalahan di set kedua.

“Saya merasakan kelajuan bulu tangkis kami tidak meningkat. Kemungkinan kami tidak sesuai untuk melawan angin dan mereka menyerang kita. Dari permulaan memang tidak sesuai, namun kami tahu untuk menyelesaikan.

“Setiap hari angin akan berbeza. Pengalaman saya di Terbuka Malaysia selalunya angin memang begitu, namun saya fikir kami perlu menjalankan tanggungjawab dan mengikuti perancangan,” kata Wooi Yik kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.

Dalam masa yang sama, Aaron turut mengulas perlawanan pusingan kedua esok yang mana beliau bersama Wooi Yik hanya bersedia untuk menerima segala halangan.

“Pusingan kedua ini kami hanya lebih bersedia sahaja kerana kami tidak tahu lawan kami siapa tetapi yang pasti pasangan Taiwan. Kondisi kami semua okay dan kami harus berada di landasan yang tepat,” kata Aaron.

Pada peringkat 16 terbaik, esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan gandingan Taiwan sama ada Liu Kuang Heng-Yang Po Han atau Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.

Jika berjaya melepasi halangan pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik akan mengulangi pencapaian edisi tahun lalu menjejakkan kaki ke suku akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya