JAKARTA: Seramai 75 pelarian Rohingya dilarang mendarat di sebuah pantai pelancongan di wilayah Aceh, Indonesia, semalam, kata pegawai tempatan.
Pegawai pentadbiran tempatan, Rizalihadi berkata, kumpulan pelarian itu, termasuk empat kanak-kanak kecil, tiba di Pantai Leuge sekitar pukul 2 petang waktu tempatan.
“Terdapat 75 pelarian Rohingya yang mendarat di Pantai Leuge. Empat daripada mereka adalah kanak-kanak berusia bawah lima tahun,” katanya kepada pemberita.
Bagaimanapun, pasukan keselamatan menghalang mereka daripada turun ke darat dan mengarahkan mereka kekal berada di atas bot.
Tambah beliau, keputusan sementara adalah untuk membiarkan mereka berada di atas bot, sementara menunggu kehadiran wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).
Pasukan tentera dan polis turut dikerahkan bagi mengawal kawasan pantai, sementara penduduk tempatan dilihat mengambil gambar bot berkenaan serta menghulurkan bantuan makanan kepada pelarian.
Pelarian etnik Rohingya beragama Islam berdepan penindasan di Myanmar, negara asal mereka yang majoritinya penganut Buddha.
Setiap tahun, ribuan daripada mereka sanggup mempertaruhkan nyawa menempuh perjalanan laut yang panjang dan berbahaya untuk mencari perlindungan di Malaysia atau Indonesia.
Pelarian Rohingya sering tiba di Indonesia dalam pola yang berulang, dengan kemasukan mereka berkurangan ketika musim tengkujuh tetapi kembali meningkat apabila keadaan laut kembali tenang.
Awal bulan ini, lebih 260 pelarian tiba di sebuah pantai di Aceh, sementara lebih 100 lagi berjaya diselamatkan selepas bot mereka karam di perairan Aceh Timur, November tahun lalu.
Pada Oktober, seramai 152 pelarian Rohingya dibawa ke darat setelah beberapa hari berlabuh di perairan Aceh Selatan, sementara pihak berkuasa memutuskan sama ada mereka dibenarkan mendarat.
Indonesia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian PBB dan menegaskan pihaknya tidak boleh dipaksa untuk menerima pelarian dari Myanmar.
Sebaliknya, Jakarta menyeru negara jiran untuk berkongsi tanggungjawab dan menempatkan pelarian Rohingya yang tiba di pantainya.
Dalam kalangan rakyat Aceh, ada yang bersimpati dengan nasib pelarian Rohingya kerana mereka sendiri pernah mengalami konflik berdarah selama berdekad-dekad.
Namun, ada juga yang semakin hilang kesabaran, kerana mendakwa kehadiran pelarian itu membebankan sumber yang terhad dan sesekali mencetuskan konflik dengan penduduk tempatan. -AGENSI