67 dikhuatiri maut nahas udara di AS - Utusan Malaysia

67 dikhuatiri maut nahas udara di AS

PASUKAN penyelamat menemukan bangkai pesawat yang terhempas di Sungai Potomac berdekatan Lapangan Terbang Ronald Reagan, Washington. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seramai 67 mangsa dalam sebuah pesawat penumpang milik syarikat American Airlines dan sebuah helikopter Black Hawk milik Tentera Darat Amerika Syarikat (AS) dikhuatiri maut. 

Kedua-dua pesawat itu terhempas selepas berlaku pelanggaran ke dalam Sungai Potomac berhampiran Lapangan Terbang Kebangsaan Reagan Washington, hari ini.   

Lapor The Washington Post, beberapa mayat ditemukan di lokasi kejadian dan sumber dari American Airlines memberitahu Reuters pesawat tersebut dijadual membawa 60 penumpang bersama dua juruterbang serta dua kru penerbangan, manakala helikopter tentera pula dilaporkan membawa tiga anggota.  

Setakat ini, NBC melaporkan empat individu berjaya diselamatkan dari Sungai Potomac.  

Rakaman dari sebuah kamera web di Kennedy Center, Washington, menunjukkan letupan di udara berlaku sekitar pukul 8.47 malam (waktu tempatan), sebelum pesawat yang terbakar menjunam dengan pantas ke dalam sungai.  

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan memaklumkan jet penumpang itu bertembung dengan helikopter tentera ketika menghampiri landasan di Lapangan Terbang Reagan.  

Pesawat Penerbangan 5342, dioperasikan oleh PSA Airlines bagi pihak American Airlines dan berlepas dari Wichita, Kansas.  

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan melancarkan operasi mencari dan menyelamat di Sungai Potomac dengan penglibatan pelbagai agensi 

Puluhan pasukan keselamatan termasuk polis, anggota paramedik dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian, dengan sebahagiannya menggunakan bot untuk membantu usaha menyelamat.   

Sementara itu, Lapangan Terbang Reagan mengesahkan semua penerbangan masuk dan keluar dihentikan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada operasi kecemasan. 

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) berkata, pihaknya sedang mengumpulkan lebih banyak maklumat mengenai insiden tersebut.  

American Airlines memaklumkan pihaknya sedang menyiasat kejadian yang menimpa penerbangan American Eagle 5342 dan akan mengeluarkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa.  

Sejak dua tahun kebelakangan ini, beberapa insiden hampir berlanggar di ruang udara AS menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan negara itu.

Untuk rekod, ini merupakan nahas udara komersial paling buruk di AS sejak 2009, apabila penerbangan Colgan Air terhempas di negeri New York dan mengorbankan 49 penumpang serta seorang lagi individu di darat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya