SYDNEY: Anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran hutan berskala besar yang melanda kawasan luar bandar di tenggara Australia, hari ini.
Penduduk yang terperangkap pula diberi amaran terlalu lewat untuk mereka melarikan diri jika belum berpindah.
Kebakaran di kawasan barat negeri Victoria telah memusnahkan kawasan seluas 65,000 hektar, hampir sebesar saiz Singapura dan api kini menuju ke bandar kecil Dimboola, kira-kira 330 kilometer di barat laut Melbourne.
Ketua Pegawai Bomba, Jason Heffernan berkata, api yang bergerak pantas telah merebak sejauh 40 kilometer di kawasan taman negara ketika angin panas melanda negeri itu pada malam Isnin.
“Kami masih berusaha mengawal api yang merebak. Anggota bomba sedang berusaha sedaya upaya untuk mengawal situasi di kawasan yang boleh diakses.
“Namun, kami belum dapat keluar dari zon bahaya dalam masa terdekat,” katanya kepada penyiar nasional ABC.
Menurut Heffernan, hampir 100 orang telah mendaftar di pusat pemindahan di luar Dimboola, yang mempunyai populasi sekitar 1,600 orang.
Sementara itu, petir yang menyambar lewat malam Isnin di bahagian lain negeri Victoria telah mencetuskan siri kebakaran kecil di Taman Negara Grampians.
Para penyelidik mendapati suhu yang semakin meningkat telah mencetuskan bencana alam yang semakin teruk di seluruh Australia.
Saintis juga mendokumentasikan peningkatan ketara dalam cuaca ekstrem yang mengakibatkan kebakaran sejak 1950-an.
Kebakaran hutan ‘Black Summer’ yang belum pernah terjadi sebelum ini pada 2019-2020 telah membunuh berjuta-juta haiwan, memusnahkan kawasan hutan asli yang luas dan menyelubungi bandar-bandar utama dengan asap tebal. -AGENSI