Abuja: Sekurang-kurangnya 40 petani dilaporkan terkorban dalam serangan di komuniti Dumba, Borno, Nigeria semalam.
Serangan dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak, menurut kenyataan seorang pegawai kanan negeri itu, hari ini.
Gabenor Borno, Babagana Umara Zulum berkata, serangan itu dipercayai dilakukan oleh pejuang Boko Haram serta sekutunya, Islamic State West Africa Province (ISWAP).
Pesuruhjaya Maklumat Negeri, Usman Tar memaklumkan laporan awal menunjukkan mangsa keluar dari kawasan koridor keselamatan yang ditetapkan oleh tentera dan memasuki kawasan berisiko tinggi yang terkenal dengan aktiviti pemberontak serta dipenuhi dengan periuk api.
“Kumpulan pemberontak itu dipercayai daripada Boko Haram dan cabang pecahannya, Islamic State West Africa Province (Iswap), yang telah lama melancarkan pemberontakan bersenjata di timur laut Nigeria,” katanya.
Menurut Tar, pasukan keselamatan kini sedang berusaha mencari mana-mana petani yang mungkin berjaya melarikan diri daripada serangan tersebut.
Sementara itu, Kerajaan negeri mengarahkan pasukan tentera yang bertugas memerangi pemberontak di kawasan itu untuk ‘menjejak dan menghapuskan elemen pemberontak’ yang beroperasi di sekitar Dumba serta kawasan Tasik Chad yang lebih luas.
Tasik Chad yang merangkumi sempadan Nigeria, Niger, Cameroon dan Chad sering dijadikan tempat persembunyian oleh kumpulan Boko Haram dan ISWAP, selain digunakan sebagai pangkalan untuk melancarkan serangan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konflik di timur laut Nigeria itu telah meragut nyawa lebih 35,000 orang awam dan menyebabkan lebih dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal. -AGENSI