JENIN: Tentera Israel mendakwa kononnya Berjaya membunuh lebih 15 pejuang Palestin dan menahan 40 individu yang disenaraikan sebagai dikehendaki dalam serangan besar-besaran yang dilancarkan sejak minggu lalu di bandar Jenin, Tebing Barat yang diduduki.
Serangan tersebut bermula dua hari selepas gencatan senjata dikuatkuasakan di Semenanjung Gaza, sekaligus mengakhiri konflik selama lebih 15 bulan antara Israel dan Hamas yang telah memusnahkan wilayah pantai Palestin itu.
Menurut kenyataan tentera Israel, operasi itu berjaya merampas sejumlah besar senjata dan menemukan bahan letupan yang disembunyikan dalam sebuah mesin basuh di salah sebuah bangunan di Jenin.
“Pasukan tentera turut memusnahkan puluhan alat letupan yang ditanam di bawah jalan, dipercayai bertujuan menyerang tentera,” katanya.
Selain itu, tentera Israel mendakwa menemukan pusat pemerhatian yang dilengkapi tong gas yang dipercayai digunakan untuk membuat bahan letupan.
Operasi berskala besar yang dinamakan ‘Iron Wall’ itu turut melibatkan penggunaan jentolak dan pesawat pejuang sejak Selasa lalu di Jenin serta kem pelarian berdekatan, kawasan yang sering menjadi sasaran serangan Israel.
Imej yang dirakam oleh AFP pada Isnin menunjukkan tentera Israel masih berada di kawasan berkenaan dengan asap hitam kelihatan berkepul-kepul dari kem tersebut.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kem Jenin, Salim al-Saadi, kira-kira 80 peratus penduduk telah meninggalkan kawasan itu sejak serangan dilancarkan.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin terkorban dan 40 lagi cedera akibat operasi ketenteraan di Jenin.
Sejak perang antara Hamas dan Israel tercetus di Gaza pada 7 Oktober 2023, keganasan dilaporkan semakin meningkat di Tebing Barat.
Menurut kementerian tersebut, lebih 860 rakyat Palestin di Tebing Barat terbunuh akibat serangan tentera atau pendatang Yahudi sepanjang konflik Gaza, manakala, angka korban di pihak Israel mencatatkan 29 nyawa dalam serangan atau operasi ketenteraan.-AGENSI