UTTAR PRADESH: Seramai 15 orang maut dalam insiden rempuhan di perhimpunan keagamaan terbesar di dunia, festival Maha Kumbh di India.
Tragedi itu turut menyebabkan ramai pengunjung lain mengalami kecederaan, kata seorang doktor di festival berkenaan.
“Setakat ini, sekurang-kurangnya 15 orang meninggal dunia, manakala yang lain sedang menerima rawatan,” katanya yang enggan dikenali kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media di bandar Prayagraj.
Menurut akhbar The Hindu, yang memetik agensi berita Press Trust of India (PTI), insiden berlaku apabila sebuah penghadang runtuh semasa acara mandi suci di bandar Prayagraj, mencederakan beberapa penganut.
“Beberapa orang telah cedera dan dimasukkan ke hospital selepas penghadang runtuh di Sangam.
“Kami belum mempunyai jumlah tepat mangsa yang cedera,” kata pegawai kerajaan negeri, Akanksha Rana.
Seorang jurugambar AFP melihat penyelamat dan penganut agama membantu mengalihkan mangsa dari tempat kejadian, manakala seorang pegawai tempatan memberitahu media India ramai yang dimasukkan ke hospital selepas kejadian di negeri utara Uttar Pradesh.
Menurut Hindustan Times, jumlah pengunjung yang sangat besar menyukarkan pihak berkuasa untuk mengawal keadaan yang disifatkan sebagai ‘hampir seperti rempuhan’.
Jumlah sebenar mangsa yang cedera belum disahkan. Ambulans membawa mangsa yang cedera ke sebuah hospital sementara, menurut laporan.
Pengumuman awam juga sedang dibuat untuk meminta para penganut meninggalkan kawasan tersebut.
Maha Kumbh Mela atau Perayaan Kendi Besar, yang diadakan setiap 12 tahun, menarik lebih 400 juta pengunjung.
Perayaan ini melibatkan siri mandian ritual oleh para sadhu Hindu atau lelaki suci, serta para jemaah lain di lokasi Sungai Saraswati yang bersifat mitos dipercayai bertemu dengan Sungai Ganges dan Yamuna.-AFP