HAVANA: Seramai 13 anggota tentera termasuk pegawai kanan dilaporkan hilang selepas berlaku beberapa letupan di sebuah depot senjata dan peluru berhampiran Melones, sebuah pekan di wilayah timur Holguín, menurut kenyataan Angkatan Bersenjata Revolusi Cuba.
Antara individu yang hilang ialah dua datuk bandar, dua pegawai waran dan sembilan anggota tentera.
Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel dalam satu kenyataan di platform X pada pagi Rabu, melahirkan rasa dukacita terhadap insiden itu yang masih dalam siasatan.
“Kami bersolidariti dan berdiri bersama keluarga 13 mangsa yang hilang,” katanya.
Kejadian itu dilaporkan bermula dengan kebakaran awal pagi Selasa di sebuah lokasi penyimpanan peralatan perang di Melones.
Pada peringkat awal, pihak tentera memaklumkan tiada ancaman terhadap penduduk setempat.
Bagaimanapun, pada sebelah petang, pihak berkuasa mengarahkan pemindahan 361 penduduk kawasan tersebut sebagai langkah keselamatan.
Usaha turut dilakukan untuk mengenal pasti keadaan anggota yang pertama kali bertindak balas terhadap insiden tersebut.
Punca kejadian belum diketahui dan pihak berkuasa kini giat menjalankan siasatan lanjut.-AGENSI