11 maut terjun kereta api akibat panik 'tren terbakar'

11 maut terjun kereta api akibat panik ‘tren terbakar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Seramai 11 orang dilaporkan maut selepas bertindak terjun dari kereta api kerana panik mendengar khabar angin mengenai kebakaran, sebelum digilis oleh kereta api lain yang sedang bergerak laju.

Insiden di daerah Jalgaon, Maharashtra, kira-kira 400 kilometer dari hab kewangan India, Mumbai sekaligus mengundang perhatian terhadap rangkaian rel negara tersebut yang sememangnya sering dikritik kerana sistem usang walaupun menjadi pengangkutan utama berjuta-juta rakyat India setiap hari.

“Kesemua mangsa dilanggar kereta api.

“Sebelas orang disahkan meninggal dunia manakala kira-kira lima lagi sedang menerima rawatan,” kata pegawai kanan daerah Jalgaon, Ayush Prasad.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, tidak dapat dipastikan sama ada amaran kebakaran itu palsu atau sebaliknya.

Menurut jurucakap Kereta Api India yang dipetik media tempatan, kejadian dipercayai berlaku selepas seseorang menarik rantai kecemasan dalam kereta api yang menuju ke Mumbai.

“Tindakan itu menyebabkan beberapa penumpang turun dari kereta api, dan pada masa sama, mereka digilis kereta api lain yang bergerak dari arah bertentangan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Saya amat berdukacita atas kehilangan nyawa dalam tragedi ini,” ujarnya.

Rekod rasmi menunjukkan di India, purata 20,000 orang maut setiap tahun akibat kemalangan kereta api antara 2017 hingga 2021.

Pada tahun 2023, hampir 300 orang terbunuh apabila sebuah kereta api penumpang bertembung dengan kereta api barang yang tidak bergerak, sebelum gerabak yang tergelincir itu melanggar kereta api penumpang lain yang sedang bergerak laju. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN