GUANAJUATO: Seramai 10 penjenayah maut dan tiga anggota polis cedera dalam insiden tembak-menembak awal pagi semalam di negeri Guanajuato, Mexico, menurut pihak berkuasa tempatan.
Insiden itu berlaku ketika pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis dan tentera sedang melakukan rondaan bersama di kawasan Yuriria yang sering menjadi medan pertelingkahan antara kartel dadah.
Pada mulanya, Jabatan Keselamatan Negeri Guanajuato melaporkan lapan penjenayah maut dalam pertempuran itu.
Namun, dua lagi mayat dengan kesan tembakan ditemukan, menjadikan jumlah keseluruhan korban seramai 10 orang.
“Dengan penemuan ini, disahkan 10 anggota kumpulan penjenayah telah berjaya dineutralkan,” menurut kenyataan jabatan tersebut.
Tiga anggota polis mengalami kecederaan tetapi dilaporkan tidak mengancam nyawa.
Pihak berkuasa turut merampas 12 pucuk senjata api, beberapa kenderaan curi dan jaket kalis peluru di lokasi kejadian.
Negeri Guanajuato terkenal dengan pergolakan antara kumpulan Santa Rosa de Lima dan Kartel Generasi Baharu Jalisco, yang merupakan salah satu kartel paling berpengaruh di Mexico.
Sejak kerajaan Mexico mengerahkan tentera untuk memerangi kartel dadah pada 2006, lebih 450,000 nyawa terkorban akibat keganasan berkaitan dadah, menurut angka rasmi.
Walaupun Presiden wanita pertama Mexico, Claudia Sheinbaum mengambil alih pentadbiran pada 1 Oktober lalu, kekacauan akibat kegiatan jenayah terus membelenggu negara itu.
Beliau sebelum ini menolak untuk mengisytiharkan perang terhadap kartel, sebaliknya mahu meneruskan strategi yang menumpukan dasar sosial bagi menangani jenayah dari akar umbi sambil memperkukuh penggunaan risikan. -AGENSI