RIO DE JANEIRO: Hujan lebat berterusan di Brazil menyebabkan tanah runtuh yang meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa, menurut pasukan penyelamat negeri Minas Gerais, Brazil pada Ahad.
Sembilan mangsa dilaporkan maut di bandar Ipatinga selepas hujan setinggi lapan sentimeter melanda hanya dalam tempoh satu jam pada malam Sabtu, menurut pejabat Datuk Bandar Ipatinga.
Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun daripada runtuhan rumah yang musnah akibat tanah runtuh.
Satu lagi insiden tanah runtuh turut menyebabkan kemusnahan teruk di sebuah jalan berbukit di kejiranan Bethania, Ipatinga.
Imej daripada Agence France-Presse (AFP) menunjukkan serpihan rumah yang terbenam di dalam lumpur akibat kejadian tersebut.
Setakat petang Ahad, seorang mangsa masih dilaporkan hilang di kawasan itu, walaupun empat ahli keluarga mangsa telah berjaya diselamatkan.
Sementara itu, satu lagi mayat ditemukan di bandar berhampiran, Santana do Paraiso.
Gabenor negeri Minas Gerais, Romeu Zema menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa menerusi kenyataan di media sosial, menyatakan solidariti terhadap mereka yang terjejas.
Brazil, negara terbesar di Amerika Latin, terus berhadapan dengan beberapa siri bencana cuaca ekstrem sepanjang tahun ini.
Pada April dan Mei lalu, banjir besar yang dicetuskan oleh hujan lebat mencatatkan lebih 180 kematian di selatan negara tersebut.
Brazil juga mengalami kemarau terburuk dalam sejarah yang dikaitkan dengan perubahan iklim, sekali gus menyaksikan kebakaran hutan paling dahsyat dalam tempoh 17 tahun, memusnahkan kawasan luas di hutan Amazon.-AFP