Zoo di Britain ditutup, dera banyak binatang - Utusan Malaysia

Zoo di Britain ditutup, dera banyak binatang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON : Sebuah zoo di Britain yang pernah digelar ‘zoo terburuk’ susulan kematian ratusan haiwan mengejutkan ramai apabila mengumumkan penutupannya selepas timbul dakwaan baharu berkaitan penganiayaan haiwan.

Zoo South Lakes Safari di Cumbria, yang dilanda kontroversi akibat beberapa insiden tragis termasuk haiwan dilanggar kereta api mini dan terkena renjatan elektrik pagar, sekali lagi mencetuskan kemarahan pihak awam.

Namun, selepas kematian seorang penjaga yang dibaham harimau pada 2017, zoo berkenaan dikenakan denda sebanyak 255,000 pound (RM1.5 juta) dan diberikan lesen baharu dengan syarat Gill memutuskan semua hubungannya dengan operasi tersebut.

Bagaimanapun, kontroversi baharu muncul Oktober lalu, apabila gambar menyayat hati tular menunjukkan haiwan mati dan cedera.

Antara insiden yang didedahkan termasuk seekor capybara dipenuhi luka akibat pergaduhan dan seekor kuda belang yang mengalami kecederaan teruk selepas kukunya tersepit di jeriji kandang sehingga terpaksa dimatikan.

Laporan pemeriksaan pada Julai lalu juga mendedahkan keadaan membimbangkan di zoo berkenaan, termasuk kejadian seorang pelajar latihan industri ditinggalkan bersendirian bersama haiwan berbahaya.

Berikutan pengumuman mengejut penutupan zoo yang kini dikenali sebagai Safari Zoo, kumpulan pemuliharaan menyambut baik keputusan tersebut tetapi menuntut jaminan semua haiwan akan dipindahkan ke tempat perlindungan yang sesuai dan dijaga dengan baik.

“Kami gembira dengan pengumuman ini, namun butiran mengenai masa depan haiwan dan tapak zoo belum jelas,” kata Chris Lewis, pengurus dasar dan penyelidikan penawanan haiwan di pertubuhan Born Free yang telah lama berkempen untuk penutupan zoo tersebut.

Sementara itu, pertubuhan kebajikan Freedom for Animals turut menyifatkan berita itu sebagai perkembangan luar biasa, namun menggesa agar semua haiwan dipindahkan ke tempat perlindungan yang sesuai dan diberi penjagaan sewajarnya.

Penutupan zoo ini dijangka menjadi titik tolak baharu dalam usaha pemuliharaan haiwan di Britain, namun nasib haiwan yang masih ada akan terus menjadi perhatian kumpulan pemantau kebajikan haiwan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya