PETALING JAYA: Hasrat skuad hoki remaja negara untuk menamatkan saingan Piala Remaja Asia sekurang-kurangnya di podium tidak kesampaian apabila tumpas 2-1 kepada Jepun dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Stadium Hoki Oman, Muscat, sebentar tadi.
Bagaimanapun, skuad kendalian I. Vikneswaran itu tetap layak untuk menyertai Piala Dunia Remaja 2025.
Dalam aksi tersebut, Jepun berada di depan seawal minit ketujuh menerusi gol padang Tanaka Tsubasa sebelum Fujiwara Yuma menggandakan jaringan dua minit kemudian.
Gol tunggal Young Tigers dijaringkan Mohammad Harris Iskandar Osman pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti.
Kejohanan Piala Remaja Asia menyediakan enam slot untuk ke Piala Dunia Remaja 2025 dan itu bermakna selain Malaysia lima lagi pasukan turut layak adalah Bangladesh, Thailand, China, Pakistan dan India selaku tuan rumah. – UTUSAN