GAZA : Badan kebajikan berpangkalan di Amerika Syarikat, World Central Kitchen (WCK), memecat puluhan pekerja Palestin di Semenanjung Gaza.
Tindakan itu dilakukan selepas Israel mendakwa sekurang-kurangnya 62 kakitangan badan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pejuang, lapor tiga pekerja kepada Reuters.
Menerusi kiriman mesej kepada kakitangan, WCK mengesahkan pihaknya telah ‘membuat perubahan’ susulan desakan Israel agar siasatan dijalankan terhadap amalan pengambilan pekerja di Gaza.
“Ini tidak boleh dianggap sebagai kesimpulan oleh WCK, individu tersebut mempunyai kaitan dengan mana-mana organisasi pengganas,” menurut kenyataan itu, sambil menambah Israel tidak berkongsi maklumat perisikan mereka.
Tambah kenyataan itu, langkah tersebut diambil bagi melindungi operasi pasukan tersebut.
Pegawai keselamatan Israel memberitahu pihaknya meminta siasatan dilakukan selepas mendakwa seorang pekerja WCK dikenali sebagai Ahed Azmi Qdeih terlibat dalam serangan terhadap Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menawan lebih 250 tebusan.
Qdeih dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza pada 30 November lalu, dan WCK mengesahkan kejadian tersebut tetapi menyatakan mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang penglibatan pekerja dalam serangan tahun lalu.
Pegawai itu turut mendakwa kajian keselamatan Israel mendapati 62 kakitangan WCK mempunyai ‘hubungan dan kaitan langsung’ dengan kumpulan pejuang.
“Oleh itu, pegawai kanan Israel menuntut agar WCK menamatkan perkhidmatan pekerja-pekerja tersebut,” katanya.
Tuduhan Israel terhadap kakitangan WCK ini mencerminkan dakwaan serupa terhadap kakitangan badan bantuan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Palestin, UNRWA.
Ogos lalu, PBB mengesahkan sembilan kakitangan UNRWA mungkin terlibat dalam serangan 7 Oktober dan telah dipecat. -AGENSI