Wilayah selatan Russia isytihar darurat akibat tumpahan minyak

Wilayah selatan Russia isytihar darurat akibat tumpahan minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW : Pihak berkuasa wilayah Krasnodar di selatan Rusia mengisytiharkan darurat seluruh wilayah, berikutan tumpahan minyak yang terus mencemari kawasan pantai 10 hari selepas dua kapal tangki lama mengalami kerosakan akibat ribut.

Insiden yang berlaku pada 15 Disember lalu, menyaksikan salah satu kapal tangki tersebut terbelah dua, manakala sebuah lagi terkandas. 

Tumpahan minyak itu kini telah meliputi pantai berpasir di sekitar Anapa, sebuah pusat peranginan terkenal dan memberi kesan kepada hidupan laut termasuk burung, lumba-lumba, dan ikan porpoise.

Lebih 10,000 individu dilaporkan sedang berusaha membersihkan pencemaran tersebut.

Gabenor wilayah Krasnodar, Veniamin Kondratiev berkata, pengisytiharan darurat itu dibuat kerana minyak masih mencemari pantai di daerah Anapa dan Temryuk. 

“Berdasarkan anggaran awal saintis, minyak sepatutnya kekal di dasar Laut Hitam dan boleh dikumpulkan di dalam air.

“Namun, keadaan cuaca berubah. Apabila suhu udara meningkat, minyak mula naik ke permukaan dan akhirnya terbawa ke pantai kita,” kata Kondratiev di aplikasi Telegram.

Pusat krisis yang mengawasi kerja-kerja pembersihan pula memaklumkan bahagian hadapan salah satu kapal tangki, Volgoneft-239, telah ditemukan di dasar laut. 

Penyelam akan memeriksa kemungkinan kebocoran minyak daripada kapal itu sebaik sahaja keadaan cuaca mengizinkan.

Sehingga kini, lebih 256 kilometer persegi kawasan pesisir pantai telah diperiksa dan sebanyak 25 tan sisa lumpur minyak berjaya dikumpulkan, menurut pusat krisis. -AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya