JAKARTA: Wabak Demam Babi Afrika (ASF) dilaporkan merebak di beberapa wilayah Indonesia, sekaligus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penternak.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Indonesia menegaskan penyakit itu tidak membahayakan manusia dan boleh dicegah dengan langkah sewajarnya.
Ketua Biro Komunikasi dan Perkhidmatan Awam kementerian itu, Aji Muhawarman berkata, ASF bukan penyakit zoonosis kerana ia tidak boleh menular daripada haiwan kepada manusia.
Ini bermakna, katanya, wabak itu tidak mendatangkan risiko kepada kesihatan manusia.
Tindakan mengawal penyakit ini adalah di bawah bidang kuasa Direktorat Jeneral Penternakan dan Kesihatan Haiwan Kementerian Pertanian serta agensi berkaitan di peringkat wilayah dan daerah.
Sehingga kini, belum ada vaksin untuk melawan ASF. Disebabkan itu, langkah pencegahan menjadi keutamaan dalam usaha membendung wabak ini.
Aji memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara berkesan.
Pihak berkuasa juga sentiasa memantau situasi dan memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai impak ASF terhadap penternakan babi.
“Dengan pelaksanaan langkah yang bersesuaian, diharap wabak ini dapat dibendung dan kerugian ekonomi dapat diminimumkN.
“Semua pihak diminta untuk terus berwaspada dan berganding bahu dalam menangani situasi ini,” katanya.
ASF adalah penyakit yang disebabkan oleh virus daripada genus Asfivirus dalam famili Asfaviridae yang menyerang babi domestik dan liar tanpa mengira usia.
ASF sangat mudah berjangkit dengan kadar kematian sehingga 100 peratus, sekaligus mengakibatkan kerugian besar kepada industri penternakan babi.
Penyebaran virus ASF berlaku dengan pelbagai cara, termasuk hubungan langsung antara babi yang sihat dengan babi yang dijangkiti, melalui serangga seperti kutu serta melalui barang tercemar seperti pakaian, peralatan ladang, kenderaan dan makanan ternakan.-AGENSI