MOSCOW : Russia mendakwa Ukraine melancarkan serangan peluru berpandu balistik buatan Amerika Syarikat (AS) jenis ATACMS ke arah sebuah pangkalan udara tentera di kawasan Laut Azov.
Tindakan itu berkemungkinan mencetuskan tindak balas pelancaran peluru berpandu hipersonik jarak sederhana baharu oleh Moscow.
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, dua daripada peluru berpandu tersebut berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Pantsir, manakala selebihnya dimusnahkan melalui serangan elektronik.
“Pada pagi 11 Disember, rejim Kyiv melancarkan serangan peluru berpandu menggunakan senjata ketepatan tinggi buatan Barat ke atas pangkalan udara tentera Taganrog di wilayah Rostov.
“Serangan senjata jarak jauh Barat ini tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas, dan langkah sewajarnya akan diambil,” tambah kenyataan itu.
Moscow sebelum ini melancarkan peluru berpandu balistik hipersonik jarak sederhana baharu, yang dikenali sebagai ‘Oreshnik’ (Hazel Tree), ke arah Ukraine, 21 November lalu.
Presiden, Vladimir Putin menyifatkan tindakan itu sebagai respons langsung terhadap serangan Ukraine menggunakan peluru berpandu buatan AS dan Britain.
Pegawai AS semalam memaklumkan Russia mungkin melancarkan satu lagi peluru berpandu hipersonik di Ukraine dalam masa terdekat.
Namun, Washington tidak menganggap senjata Oreshnik sebagai faktor yang mampu mengubah kedudukan konflik secara ketara.
Serangan terbaharu Ukraine menggunakan peluru berpandu ATACMS dari AS, diluluskan oleh pentadbiran Presiden Joe Biden, dengan serangan tambahan menggunakan peluru berpandu Storm Shadow dari Britain serta sistem HIMARS dari AS dilancarkan 21 November lalu.
Selepas serangan tersebut, Putin memberi amaran perang di Ukraine sedang menuju ke arah konflik global berikutan keputusan AS dan Britain membenarkan Ukraine menyerang Russia dengan senjata mereka serta kesediaan melancarkan tindak balas.
Pencerobohan Russia i Ukraine sejak 2022 mengorbankan puluhan ribu nyawa, menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal dan mencetuskan krisis terbesar dalam hubungan antara Moscow dan Barat sejak krisis peluru berpandu Cuba pada 1962. -AGENSI