Turkiye tolak dakwaan 'ambil alih' Syria - Utusan Malaysia

Turkiye tolak dakwaan ‘ambil alih’ Syria

KOMUNITI Syria mengibarkan bendera kumpulan pembebasan ketika meraikan kejatuhan rejim Bashar al-Assad di Vienna, Austria.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Turkiye menolak dakwaan Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyifatkan pemberontakan untuk menyingkirkan bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad adalah ‘pengambilalihan tidak mesra’ oleh Ankara.

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan menegaskan istilah itu tidak benar sama sekali.

“Kami tidak akan memanggilnya pengambilalihan, kerana ia akan menjadi satu kesilapan besar untuk membentangkan apa yang berlaku di Syria dalam istilah itu.

“Bagi rakyat Syria, ia bukan pengambilalihan. Saya fikir jika ada apa-apa pengambilalihan, ia adalah kehendak rakyat Syria yang sebenarnya mengambil alih sekarang,” tegasnya.

Assad melarikan diri ke Russia selepas serangan kilat yang diterajui oleh kumpulan Islam Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) merampas bandar demi bandar daripada kawalannya.

Isnin lalu, Trump berkata, kumpulan pejuang yang berada di Syria dikawal oleh Turkiye.

“Orang yang pergi ke Syria dikawal oleh Turkiye dan ia ok. Turkiye melakukan pengambilalihan yang tidak mesra, tanpa banyak nyawa yang terkorban,” kata ahli perniagaan jutawan itu kepada pemberita.

Sejak hari-hari awal pemberontakan anti-Assad yang meletus pada 2011, Türkiye dilihat sebagai penyokong utama pembangkang kepada pemerintahannya.

Ankara menerima kemasukan penentang politik serta berjuta-juta pelarian Syria dan turut menyokong kumpulan pembangkang yang memerangi tentera ketika itu.

Fidan berkata, adalah tidak tepat untuk menyifatkan Turkiye sebagai kuasa yang akhirnya akan memerintah Syria.

“Saya fikir itu adalah perkara terakhir yang kita mahu lihat kerana kami mengambil pengajaran besar daripada apa yang berlaku di rantau ini, malah budaya penguasaan itu sendiri telah memusnahkan wilayah kami.

“Oleh itu, ia bukan penguasaan Turkiye, bukan penguasaan Iran, bukan penguasaan Arab, tetapi kerjasama itu penting.

“Perpaduan kita dengan rakyat Syria tidak seharusnya dicirikan atau ditakrifkan hari ini seolah-olah kita sebenarnya memerintah Syria. Saya rasa itu salah,” tegasnya.

Dalam pada itu, Fidan turut memberi amaran kepada pemerintah baharu Syria untuk menangani isu pasukan Kurdish di negara itu yang disifatkan Ankara sebagai pengganas.

“Terdapat pentadbiran baharu di Damsyik sekarang. Saya fikir, ini adalah kebimbangan utama mereka sekarang.

“Jadi, saya fikir jika mereka mahu, jika mereka menangani isu ini dengan betul, tidak ada sebab untuk kami campur tangan,” jelasnya.

Fidan menjawab soalan itu di tengah-tengah khabar angin yang semakin meningkat bahawa Turkiye boleh melancarkan serangan ke atas bandar sempadan Kobani yang dikuasai Kurdish, juga dikenali sebagai Ain Al-Arab.

Saksi tempatan berkata, terdapat peningkatan dalam bilangan tentera yang meronda di sempadan Turkiye tetapi tiada aktiviti ketenteraan luar biasa di kawasan itu.

Ankara melakukan beberapa operasi terhadap tentera Kurdish sejak 2016 dan kumpulan yang disokong Turkiye telah menawan beberapa bandar yang dikuasai Kurdish di utara sejak beberapa minggu lalu.-AFP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya