ISTANBUL: Pasukan penyelamat Turkiye menamatkan pencarian selepas mendapati tiada lagi tahanan yang terperangkap di mana-mana sel tersembunyi di penjara Saydnaya di Syria.
Pengarah Agensi Bantuan Bencana Turkiye (AFAD), Okay Memis berkata, pasukan pencarian melibatkan kekuatan 120 anggota dan misi itu dijalankan atas permintaan pihak berkuasa baharu Syria.
“Seluruh bangunan diperiksa dan dianalisis dengan pengimbas, dan tiada lagi orang hidup ditemukan,” kata Memis kepada wartawan di lokasi berkenaan.
Penjara di utara Damsyik itu menjadi simbol pencabulan hak asasi manusia semasa pemerintahan rejim Bashar al-Assad yang digulingkan oleh kumpulan pejuang, 8 Disember lalu.
Tahanan yang berada di dalam kompleks itu, dibebaskan lebih awal oleh kumpulan pejuang, minggu lalu.
Kompleks mengerikan itu menjadi lokasi hukuman mati yang melanggar piawaian undang-undang.
Kompleks itu dipercayai mempunyai beberapa tingkat di bawah tanah, yang menimbulkan keraguan mengenai lebih ramai banduan yang ditahan di dalam sel tersembunyi yang belum ditemukan.
Persatuan Tahanan dan Orang Hilang Penjara Saydnaya (ADMSP) bagaimanapun percaya khabar angin mengenai sel tersembunyi itu tidak berasas.
Kompleks penjara itu diperiksa dengan teliti oleh pekerja kecemasan White Helmets Syria, tetapi mereka menamatkan operasi pada Selasa lalu, dan menyatakan tidak menemukan lagi tahanan lain.
Balai Cerap Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata, lebih 100,000 orang mati di penjara dan pusat tahanan Syria sejak 2011, apabila perang saudara tercetus.- AFP