DAMSYIK: Türkiye berikrar untuk membantu proses peralihan politik serta usaha membangunkan semula Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad.
Komitmen itu dinyatakan oleh Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, semasa bertemu pemimpin pentadbiran baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, di Damsyik, pada Ahad.
Pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pihak menekankan kepentingan perpaduan dan kestabilan di Syria, selain menyeru supaya semua sekatan antarabangsa terhadap negara yang dilanda perang itu segera dihentikan.
“Setiap sekatan ekonomi mesti dihentikan. Pemangsa telah pergi, yang tinggal kini hanya mangsa.
“Faktor ketidakadilan dan penindasan sudah tiada. Kini adalah masa yang sesuai untuk sekatan ini ditamatkan,” kata al-Sharaa, yang juga pemimpin kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS).
Menurut Fidan, Turkiye akan terus menyokong Syria untuk memulihkan negara itu.
“Hari-hari gelap Syria sudah berlalu. Hari yang lebih baik menanti,” katanya pada sidang akhbar bersama.
Fidan turut menyatakan komuniti antarabangsa perlu bertindak segera untuk membantu Syria bangkit semula, termasuk memulihkan perkhidmatan asas dan memudahkan kepulangan pelarian.
Antara isu utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah keperluan untuk menggubal Perlembagaan baharu Syria yang melindungi hak semua golongan minoriti.
Isu pelarian Syria, pelanggaran kedaulatan oleh Israel dan kumpulan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) turut dibincangkan.
Kerajaan baharu Syria mengambil alih pentadbiran negara itu selepas 13 tahun perang saudara yang bermula pada 2011. Konflik tersebut mengorbankan ratusan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan menjadi pelarian.
Lawatan Fidan juga berlangsung ketika pertempuran berterusan di timur laut Syria antara pejuang Syria yang disokong Turkiye dan kumpulan YPG, yang dianggap Ankara sebagai organisasi pengganas.-AGENSI