JAKARTA : Dua dekad lalu, pada 26 Disember 2004, gempa bumi dan tsunami besar melanda Aceh yang mencatatkan salah satu bencana alam terburuk dalam sejarah Indonesia.
Gempa berukuran 9.2 skala Richter yang diikuti oleh gelombang tsunami setinggi 30 meter bukan sahaja memusnahkan Aceh, malah turut memberi kesan kepada beberapa negara lain seperti Sri Lanka, Thailand dan India.
Menurut laporan, tragedi itu bermula pada pagi Ahad, apabila gempa bumi berlaku di kawasan barat Aceh sekitar pukul 7.50 pagi waktu tempatan.
Gempa besar itu, berpusat pada kedalaman 10 kilometer di dasar laut, mencetuskan gelombang tsunami yang bergerak dengan kelajuan ratusan kilometer sejam, meratakan kawasan pantai barat Sumatera dan beberapa pulau kecil di sekitarnya.
Tsunami besar tersebut berpunca daripada pertembungan plat Indo-Australia dan Eurasia, yang menyebabkan pergeseran batuan secara tiba-tiba di dasar laut.
Keadaan ini bukan sahaja mencetuskan gempa dangkal tetapi juga mengakibatkan lentingan batuan di bawah permukaan laut, sekali gus mencipta gelombang besar yang menghentam kawasan pesisir pantai.
Bencana itu mengorbankan ratusan ribu nyawa dengan statistik menunjukkan sekitar 126,741 orang terkorban, manakala 93,285 orang lagi dilaporkan hilang setelah dihanyutkan gelombang laut.
Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada rakyat Aceh, tetapi juga masyarakat antarabangsa yang memberikan bantuan kemanusiaan segera bagi meringankan penderitaan mangsa yang terselamat.
Tsunami Aceh kekal dalam memori sebagai peringatan akan dahsyatnya kekuatan alam yang sukar diramal. -AGENSI