WASHINGTON : Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi isyarat pentadbirannya tidak akan lagi terlibat dalam perang saudara Syria yang berlarutan sejak 2011.
Beliau turut memberi bayangan AS mungkin menghentikan sokongan kepada pasukan yang diketuai oleh kumpulan Kurdish di rantau tersebut.
“Syria adalah satu kekacauan, tetapi bukan sahabat kita. AS tidak sepatutnya terlibat. Ini bukan perjuangan kita. Biarkan ia berjalan sendiri,” kata Trump menerusi satu hantaran di media sosial pada Sabtu.
Trump, yang memenangi Pilihan Raya Presiden dengan kempen berteraskan platform ‘America First,’ dilihat bersedia untuk mengutamakan kepentingan domestik AS dan mengurangkan campur tangan dalam konflik luar negara.
AS sebelum ini menyokong Syrian Democratic Forces (SDF), sebuah gabungan yang diketuai Kurdish, dalam usaha memerangi kumpulan pengganas Daesh.
Namun, kenyataan Trump menimbulkan persoalan mengenai masa depan sokongan AS kepada kumpulan itu, yang kini menguasai kawasan kaya minyak di timur laut Syria.
Trump juga tidak menyebut tentang kehadiran tentera AS di Syria, dianggarkan kurang 1,000 anggota yang ditempatkan di pangkalan seperti Medan Minyak Omar dan al-Shaddadi.
Trump menyifatkan serangan balas pemberontak itu sebagai sesuatu yang ‘belum pernah berlaku’ dan menjangka langkah besar untuk menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.
“Russia, kerana terlalu terikat dengan Ukraine, nampaknya tidak mampu menghalang kemaraan ini, dan mungkin ini adalah perkara terbaik untuk mereka,” katanya.
Trump dijangka mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Presiden Joe Biden pada 20 Januari depan, dengan agenda dasar luar yang lebih tertumpu pada usaha mengelakkan penglibatan dalam konflik luar.-AGENSI